Tuesday, February 3, 2009

Muka hadapan Harian Metro hari ini


Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my



BUKIT MERTAJAM: Angkara percaya tilikan bomoh, seorang pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) trauma akibat dibelasah dan ‘ditawan’ sekumpulan rakan senior selama tiga jam kerana dituduh mencuri dompet, jam tangan, telefon bimbit dan kasut mereka.Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu, mangsa, Isma Fahmi Khosim, 19, yang baru sebulan mendaftar masuk ke universiti itu, berjalan seorang diri menuju asrama universiti berkenaan.Dia kemudian dipanggil dua pelajar senior dan ditarik masuk ke bilik sebelum ditumbuk dan ditendang.“Saya tidak tahu kenapa dipukul.Selepas membelasah saya termasuk ditumbuk pada bibir hingga berdarah, baru mereka tuduh saya mencuri barangan milik mereka“Saya menafikan tuduhan itu. Namun, saya diugut akan terus dipukul jika enggan mengaku mencuri,” katanya.

Menurut Isma Fahmi, dua pelajar terbabit memukulnya di kepala dan bahu dengan cota serta lampu suluh panjang menyebabkan dia menjerit kesakitan.“Mereka menuduh saya mencuri semata-mata kerana percayakan bomoh kononnya nampak wajah saya ketika menilik sedangkan saya tidak tahu apa-apa,” katanya.Tidak lama kemudian, Isma Fahmi berkata, dua pelajar senior terbabit memanggil tiga lagi rakan mereka dan bertanya soalan sama sebelum terus memukulnya.“Saya disuruh buka baju dan mengelap lantai dan kemudian disuruh pakai semula baju. Mereka juga paksa saya melakukan tekan tubi sehingga saya menjadi lemah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini semalam.Menurutnya, dia tidak melawan ketika dipukul. Disebabkan tidak tahan dengan deraan itu, pada satu ketika dia berpura-pura mengaku mencuri bagi mengelakkan dipukul lebih teruk.“Tidak cukup dengan itu, mereka merampas telefon bimbit, kasut, wang RM50 dan kad metrik saya sebelum dibebaskan jam 4.30 pagi,” katanya.

Katanya, dia kemudian diarah mengganti barang yang dicuri sebelum Ahad (semalam) menyebabkan dia bimbang berlaku kejadian tidak diingini lalu membuat laporan di Balai Polis Batang Berjuntai, Selangor.Ibunya, Norazizah Awang, 40, berkata ketika mengambil anak sulungnya itu, Khamis lalu, Isma Fahmi dalam keadaan lemah selain terdapat kesan cedera pada bibirnya.Norazizah berkata, anaknya kini trauma dan enggan menyambung pelajaran di universiti berkenaan kerana bimbang sesuatu lebih buruk berlaku.“Saya kesal kejadian seperti itu berlaku dan meminta pihak pentadbiran universiti mengambil tindakan wajar supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Petikan muka hadapan Harian Metro 2 Februari 2009

No comments:

Post a Comment

Kindly please leave your comment